
Cabaran yang paling hebat selain cabaran cabaran yang telah dituliskan terdahulu dalam kerjaya Pelukis Pelan Senibina adalah cabaran kegawata ekonomi. Telah sedia maklum kegawatan ekonomi berlaku dalam kitaran 10 tahun dan sepanjang 40 tahun kerjaya, saya telah menghadapinya beberapa kali.
Kali pertama pada tahun 1973 bila berlaku krisis minyak. Negara negara OPEC dari Asia Barat telah menghentikan eksport minyak ke AS dan Eropah kerana sokongan mereka kepada Israel. Kali kedua pada tahun 1980 bila berlaku revolusi diIran dan diikuti dengan kenaikan mendadak harga minyak. Kali ketiga pada tahun 1987 atau dikenali sebagai 'Black Monday' kerana keruntuhan pasaran saham wall street dan merebak keseluruh dunia. Kali keempat pada tahun 1997 dengan keruntuhan nilai mata wang Asia yang bermula diThailand, Indonesia dan seluruh Asia akibat spekulasi matawang oleh George Soros. Kali kelima pada Desimber 2007 akibat keruntuhan pasaran perumahan di Amerika Syarikat. Kesanya sangat buruk dan ramai diantara rakan rakan seperjuangan yang kehilangan pekerjaan, kereta, rumah dan yang paling menyakitkan bila berlaku keruntuhan rumah tangga.
Apabila kegawatan ekonomi melanda dunia, sektor yang paling awal terjejas ialah sektor pembinaan. Sektor pembinaan ini pula melibatkan banyak syarikat seperti Pemaju, Pengedar Bahan Binaan, Perbankan, Asuransi, Kontraktor, Penyedia Peralatan Pembinaan dan syarikat konsultan seperti Akitek, Jurutera Civil dan Struktur, Juru- tera M&E, Jurukur Bahan, Lanskap, Dekorasi Dalaman dan sebagainya. Untuk terus hidup kebanyakan syarikat terpaksa mengecilkan operasi dengan mengurangkan pekerja. Dalam hal ini kakitangan yang tak berkualiti dan kurang produktif akan menjadi mangsa keadaan. Bagi yang bernasib baik mereka hanya menerima pemotongan gaji. Namun ramai
yang bertukar kerjaya dengan menjadi peniaga pasar malam, membuka gerai makanan dan sebagainya. Bagi graduan yang baru memasuki pasaran kerja seperti Akitek, mereka terpaksa menerima berapa saja gaji walaupun serendah RM300 sebulan. Kerana yang penting ketika itu ialah mencari pengalaman.
Bagi Pelukis Pelan Senibina, mereka tetap ada kelebihan tersendiri. Mereka masih boleh berkerja 'free lance'. Membuat pelan kerja kerja kecil seperti pelan ubahan dan tambahan ( renovation ) pelan perspektif untuk brochure atau menjadi runner kepada syarikat pemaju dan sebagainya. Walau bagaimana pun ramai yang telah putus asa
dan menceburi bidang lain yang lebih kalis.